Saturday, October 30, 2010

CIRI-CIRI PENTING DAIE

1. Pertama-tama, sebelum segala-galanya bermula, ikhlaskanlah niat kerana
Allah Taala semata-mata. Tanpa keikhlasan, segala urusan akan runtuh dan
musnah.
2. Menjiwai betapa besarnya tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Dengan
itu dia akan memberikan perhatian yang selayaknya dengan tugas tersebut
dan dalam masa yang sama merasai ganjaran yang tidak ternilai menantinya.
3. Melaksanakan tugas dengan bijaksana, pandai memilih uslub
(pendekatan), memberi tunjuk ajar dan menasihati yang baik serta berbincang
dengan cara yang terbaik.
4. Hendaklah bersikap ramah mesra, mempermudahkan urusan dan memiliki
akhlak yang baik. Semua ini dilakukan dengan sabar, lemah lembut (tidak
cepat marah), mengharapkan pembalasan di sisi Allah hasil daripada
rintangan yang dihadapi ketika melaksanakan kerja-kerja dakwah, dan
menuruti jejak langkah Rasulullah s.a.w dan para daie yang mengikuti jejak
langkah Baginda s.a.w.
5. Memahami selok belok cara hidup dan budaya masyarakat yang dia
berkecimpung di dalamnya. Juga memahami aliran pemikiran dan isu-isu
yang berlaku di dalam masyarakat, serta berusaha untuk mengenali dengan
lebih mendalam mad’u yang didakwahnya.
6. Mempelajari dan mendalami sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam
untuk dijadikan bekalan. Dia akan mendapati di dalamnya terdapat pelbagai
bentuk penyelesaian masalah yang mampu membantunya menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Begitu juga dengan beberapa pendirian yang diambil
oleh generasi muslimin yang pertama.
7. Menghafaz al-Quran sebanyak yang mampu untuk dijadikan dalil dalam
kerja-kerja dakwahnya. Pendekatan melalui kisah-kisah yang terdapat di
dalam al-Quran mempunyai kesan yang besar dalam jiwa.
8. Dalam setiap perbualan dan perbincangan, unsur akal (kefahaman dan
logik) hendaklah dipandukan dengan unsur perasaan dan kejiwaan.
Sesungguhnya membangkitkan unsur perasaan dan kejiwaan akan
mempersiapkan akal untuk menerima apa yang disampaikan kepadanya dan
meninggalkan kesan.